| SAYA DAN TUN. DR. MAHATHIR
SEMALAM 28 Ogos 2012, telah berlangsung pertemuan antara saya dengan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad di pejabat beliau di tingkat 86, Bangunan Petronas, KLCC. Pertemuan berlangsung selama 40 minit dengan ditemani pembantu khas saya saudara Faizal.
Dalam pertemuan itu saya telah mengutarakan beberapa perkara antaranya buku terbaru saya "Dilema Melayu Sabah", perpaduan bangsa Melayu khususnya di Sabah, pendidikan dan sebagainya. Tun Dr. Mahathir memberi layanan yang sangat baik kepada saya, malah beliau turut memberikan beberapa cadangan yang sangat bernas.
Dalam konteks Melayu, Tun Dr. Mahathir merujuk kepada definisi Perlembagaan Persekutuan di mana jika seseorang itu beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat dan budaya Melayu maka dia adalah Melayu. Tidak perlu lagi dipersoalkan.
Tun Dr. Mahathir memberi beberapa contoh antaranya Datuk Seri Sanusi Junid orang Acheh, di Selangor kebanyakan pemimpin dan Menteri Besar adalah orang Jawa, Tan Sri Syed Hamid Albar keturunan Arab dan banyak lagi. Mereka semua adalah Melayu dan sudah termaktub dalam perlembagaan.
Begitu jugalah di Sabah, jika seseorang itu sudah berdaftar dengan memohon untuk menjadi warganegara Malaysia dan selepas dia layak dengan permohonannya dengan mengambilkira tempoh tahun dia duduk di Sabah, lulus dalam temuduga, lulus dalam tapisan keselamatan, bercakap bahasa Melayu dengan baik, beragama Islam bagi yang beragama Islam, mengamalkan adat budaya bangsa Melayu, dan sudah lulus semua proses memohon kewarganegaraan, maka dia adalah rakyat Malaysia dan tidak perlu risau lagi akan kedudukannya.
KUALA LUMPUR DARI TINGKAT 86, PETRONAS TOWER
Dalam hal ini, Tun Dr. Mahathir berpendapat perlu ada satu Badan untuk membantu menyelesaikan masalah "state less" ini dengan menunjukkan cara-cara yang betul dan mengikut peraturan. Ramai anak-anak kelahiran di Sabah memiliki taraf Bukan Warganegara atau Kewarganegaraan Belum Ditentukan. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh YB SAPP di Parlimen bagaimana untuk menyelesaikan isu tersebut. Dalam hal ini, Tun Dr. Mahathir menasihatkan mereka supaya mendaftarkan diri kepada jabatan-jabatan kerajaan yang telah diberi kuasa seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan sebagainya.
Berkenaan RCI, saya mempunyai pandangan yang berbeza dengan Tun Dr. Mahathir di mana saya berpandangan RCI ini penting ditubuhkan kerana ianya permintaan komponen BN Sabah juga, kedua saya yakin RCI ini akan dapat menunjukkan jalan keluar menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin atau pekerja asing dengan izin atau pekerja asing tanpa izin. Ketiga, saya yakin RCI ini turut dapat menyelesaikan isu-isu "state less" dan kewarganegaraan belum ditentukan. Pada saya, kita tidak perlu risau dengan RCI. Ia pasti akan memuaskan hati semua pihak.
Di akhir pertemuan, Tun Dr. Mahathir menurunkan tandatangan di atas buku "Doktor Umum".
BUKU DOKTOR UMUM
|
EKSKLUSIF BERSAMA TUN DR. MAHATHIR
Abu Syifa on Wednesday, August 29
.jpg)
















