ABAKA ( Siri 2 ) : Runtuhkan Surau atau Buang Kerja

on Monday, June 23

Pada tahun 1986, kami sekeluarga berpindah dari Kg. Mawar ( letaknya di tengah-tengah ladang getah dan kelapa sawit ) ke Kg. Pertama Bombalai. Ketika kami baru berpindah, kami dapati tidak ada surau , hanya ada masjid tetapi nun jauh 7km ke luar jalan. Maka, saya dan ayah saya pun merancanglah membuat Surau di tengah-tengah kampung supaya orang-orang kampung senang berjamaah. Maklumlah kerja ladang, kadang-kadang pekerja balik pukul 5pm atau 6pm, maka Solat Maghrib selalu tidak sempat berjamaah. Orang-orang kampung juga tidak mempunyai kereta mahupun motor, maklumlah gaji buruh ladang ketika itu dalam lingkungan rm200 ke rm300. Itu tidak juga menjadi sebab utama membina Surau Al-Ajrin itu, hanya untuk berdakwah dan beramal sahaja, supaya aktiviti-aktiviti agama dapat diadakan dalam kampung itu.

Ketika itu saya baru di tingkatan 4 (1987), maka oleh kerana saya agak tahu menulis ( karang-mengarang surat ), maka saya membantu ayah saya menulis surat, kertas kerja, borang permohonan dsbnya. Setiausaha Penaja Pembinaan Surau Al-Ajrin ialah Saudara Lambang Sundang, walaupun dia pekerja biasa sahaja tetapi bantuannya sangat besar.

Pada tahun 1988 kalau saya tidak silap, kami memohonlah kepada Manager Estate ( Ladang tempat kami tinggal ni milik Syarikat asing beribupejabat di London jika tidak silap ), maka dapatlah kebenaran membina Surau itu dengan syarat tidak boleh memohon peruntukan daripada syarikat ladang itu. Ayah saya tanpa memikir panjang lebar terus meminta orang-orang kampung membantu menggali lubang dan menaikkan tiang Surau, dan memasang kerangka penting. Tiang-tiang dan kayu beroti tu sebenarnya kayu ayah saya, tujuan asalnya nak buat rumah, tetapi oleh kerana pencen ayah saya masih lama, maka dia ambil keputusan dirikan surau itu dulu.

Beberapa hari kemudian Manager Estate mengutus surat kepada ayah saya...Sila beri sebab kenapa dirikan Surau di atas tanah syarikat tanpa kebenaran terlebih dahulu. Aduh..kami fikir surat yang pertama tadi tu maksudnya bolehlah didirikan bangunan Surau itu. Rupa-rupanya maksud sebenarnya surat itu hanyalah kebenaran semata-mata, Bukannya Kebenaran Mendirikan Surau.

Maka ayah saya diberi kata dua...: Cabut semula tiang-tiang itu atau Haji ( gelaran ayah saya di kampung ) kena berhenti kerja.

Satu kebijaksanaan ayah saya, walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi tetapi mempunyai pemikiran yang tinggi dalam berurusan, menangani masalah, dan diplomasi yang tinggi.

Kami pun mencari orang bijak pandai dan berbincang langkah seterusnya. Seorang pegawai kerajaan ketika itu, Sdra Cacho Bullah namanya, mencadangkan kami menulis surat memohon maaf dan memohon pula Kebenaran Mendirikan Bangunan Surau. Dipendekkan cerita, akhirnya hasil rundingan dalam mesyuarat CLC ( kebetulan ayah saya Ketua kampung, setiap minggu kena hadir mesyuarat dengan management ladang ), maka kebenaran mendirikan bangunan surau pun diperolehi dengan syarat tidak membabitkan wang syarikat.

Akhirnya, pada tahun 1990 Surau Al-Ajrin dapatlah didirikan, walaupun tidak siap sepenuhnya namun ia sudah boleh digunakan. Di sebelah surau kami dirikan pula Tadika Al-Ajrin, supaya anak-anak yang berumur 4 dan 5 tahun ada pendidikan awal, tidaklah bermain-main dengan tanah dan sebagainya.Bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kehendaknya juga Surau Al-Ajrin dapat dibina, dinamakan nama Al-Ajrin sempena nama adik bongsu saya yang ke-10. Hari ini, sudah 20 tahun surau itu berdiri megah, cuma Tadika Al-Ajrin itu dengan persetujuan saya pada tahun 2002 agar diserahkan kepada pihak Kemas kerana Kemas mempunyai sumber kewangan untuk membayar gaji guru, kedua saya pula sudah berpindah ke Labuan. Murid-murid sulung Tadika itu kini sudah berumur 19 tahun dan akan memasuki Universiti, semoga mereka tidak melupakan Tadika Al-Ajrin tempat mula-mula mereka mengenal huruf dan nombor.

Kami semua sudah berpindah ke Kg. Sg. Imam, saya pula di Kuala Lumpur. Namun, hati sentiasa mengenang kisah lama itu,...Harga Rindu Semakin Mahal Apabila Berjauhan...

4 Komen:

cheguman said...

Artikal ini sudah seperti bahagian kecil daripada sebuah novel. Atau memang ia sebahagian daripada novel saudara? Ia mengingatkan saya pada novel Assyiqaq Shahnon Ahmad. Masih dapat saya bayangkan Pataeng Sagalas yang melarikan diri dari kampungnya di selatan Thai dan akhirnya mensasaskan pondok pengajian di Kedah.

aerieff said...

Nama surau tersebut sempena nama saya:). Terharu jgk bila terkenang masa dulu-dulu belajar di tadika tersebut. Bila saja rehat makanan yang disediakan adalah biskut bersalut gula dua keping.hehe.

Al-Azharri Siddiq Haji Kamunri said...

Cheguman,
Terima kasih, sebahagiannya ya terdapat di dalam novel itu, cuma sedikit saya tambah untuk perjelaskan supaya lebih jelas. Dulu setiap petang dekat Maghrib, orang-orang Kampung membawa ayam sabung untuk pertandingan sabung ayam di dalam ladang kelapa sawit agaknya, mereka lalu di tepi rumah saya, berdekatan surau yang baru dibina, apabila terdirinya Surau itu, lama kelamaan orang-orang ini sudah tidak lalu berdekatan rumah dan surau. Saya tidak pasti sama ada mereka malu atau melalui jalan lain. Cerita ini ditapis,sebab itu tiada di dalam novel itu.

Novel itu sebenarnya banyak diedit oleh pihak editorial.

Tujuan saya hanyalah satu, hidup ini satu perjuangan, Kita tidak mempunyai wang, kekuatan fizikal, material, gerakan, cuma ada sedikit kepandaian menulis,itulah senjata kita gunakan. Saya pula tiada ada asas penulisan,kedua2 novel saya itu pernah ditolak oleh syarikat penerbitan, namun ia menang juga. Buku baru saya yang akan dilancarkan hampir 20 tahun tiada siapa mahu terbitkan, tetapi alhamdulillah tahun ini, ada penerbit mahu menerbitkannya.Semuanya berkenaan perjuangan, golongan marhaen di kampung-kampung, yang kurang mendapat pembelaan.END

Al-Azharri Siddiq Haji Kamunri said...

aarief,
Kena ingat di mana asal usul, jangan lupa daratan, jangan lupa kita pernah susah, jangan lupa kita pernah makan ikan tin sahaja, jangan lupa kita pernah jalan kaki 30km ulang-alik ke sekolah, jangan lupa keluarga kita pernah tidak punya wang Satu Sen pun dalam tangan, Namun, Alhamdulillah 10 orang kita adik-beradik semuanya berjaya, semuanya sudah ada pendidikan tinggi, pekerjaan yang baik, dsbnya...bila kau melihat orang yang susah jangan lupa, tolonglah mereka mana yang mampu, kerana kita pernah susah...

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan