POLIS DAN JURURAWAT SEPENUH MASA DALAM SEKOLAH ?

on Friday, February 20

Potensi
SEJAK pertengahan tahun 1990an, kita bercakap hal-hal pembaharuan sistem pendidikan, anjakan paradigma, dan penambahbaikan sistem pendidikan di negara kita.

Saya percaya guru-guru yang berada di sekolah lebih layak membicarakan isu ini kerana mereka berada di lapangan. Namun, izinkan saya memberikan beberapa pandangan daripada pengalaman saya di sini, barangkali ada yang boleh digunakan. 

Walaupun sudah lama saya meninggalkan bidang pendidikan, namun cinta saya pada keilmuan dan pendidikan tidak pernah pudar. Berikut adalah pemerhatian saya:-
Antara Isu Dan Cabaran Guru Disiplin Di Negara Kita
1. Polis Bantuan Dalam Sekolah
Guru-guru seringkali berhadapan dengan isu-isu disiplin di sekolah bermula daripada serendah-rendah kes kepada yang besar. Seringkali guru-guru menjadi mangsa kemarahan ibu bapa apabila anak-anak mereka didenda dan sebagainya.

Saya melawat 3 sekolah di sini, saya melihat tiada guru disiplin yang terpaksa berwajah bengis dengan tangan di rotan. Murid-murid sekolah kelihatan patuh kepada peraturan semasa di dalam kelas dan ketika di luar kelas. 

Peraturan sekolah 'berselari' dengan peraturan negara. Mereka sering bercakap 'this is the law in States' apabila mengaitkan peraturan sekolah.

Rupa-rupanya ada Polis bantuan di dalam sekolah. Saya melihat Polis bantuan tersebut lengkap dengan pakaian seragam, ada walkie-talkie dan ada pejabat khas di dalam bangunan sekolah.

Polis ini mengawal pintu masuk utama sekolah dan pintu utama di pejabat pentadbiran. Saya melihat mereka menyoal murid-murid yang berjalan tanpa tujuan, pelawat tanpa pas pelawat dan saya dapati murid-murid sangat 'respectable'.

Saya perhatikan, walaupun jumlah murid sekolah ini agak ramai kira-kira 600 orang, tetapi suasananya aman dan terkawal.

Guru-gurunya kelihatan fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Contoh Suasana Klinik Dalam Sekolah
2. Jururawat Sepenuh Masa Di Sekolah
Saya juga melihat sebuah sekolah mempunyai pejabat khas untuk jururawat (clinic/nurses). Jururawat tersebut bertugas sepenuh masa di sekolah setiap hari waktu persekolahan.

Antara tugas yang dapat saya perhatikan ialah murid-murid yang menghadapi masalah kesihatan akan dirujuk kepada jururawat tersebut. Begitu juga anak-anak yang hendak masuk ke sekolah tersebut akan melalui tapisan kesihatan (memastikan imunisasi lengkap) di mana jururawat akan memeriksa laporan perubatan anak-anak sebelum dibenarkan memasuki kelas.

Di negara kita, terdapat juga sekolah-sekolah menyediakan Bilik Rawatan ataupun Klinik Kesihatan. Bezanya, bilik-bilik itu tidak digunakan sepenuhnya kerana tidak ada jururawat yang bertugas sepenuh masa. Hanya apabila terdapat jadual pemeriksaan gigi dan suntikan imunisasi barulah bilik tersebut akan digunakan. 

Saya mencadangkan supaya Kerajaan (Kementerian Pendidikan kerjasama Kementerian Kesihatan) mengubah sistem ini dengan menempatkan Jururawat sepenuh masa, supaya murid-murid yang mengalami masalah kesihatan boleh mendapatkan rawatan segera di dalam sekolah tanpa perlu lagi menghantar mereka ke klinik dan hospital (kecuali kes-kes berat).

Biarlah guru-guru menumpukan tugas mereka kepada proses pengajaran dan pembelajaran sahaja supaya mereka memiliki masa yang berkualiti di dalam kelas.
Contoh Inhouse Training Sepenuh Hati
3. Sekolah Tutup Jika Semua Guru Mengadakan Inhouse Training
Satu lagi perkara yang mungkin boleh difikirkan ialah apabila pihak sekolah mengadakan 'inhouse training' kepada semua guru, mereka menutup sesi persekolahan dengan dua alasan. 

Pertama, mereka mahu seluruh kakitangan sekolah terlibat dan memberi fokus. Kedua, mereka tidak mahu murid-murid berada di dalam kelas tanpa guru. Mereka tidak membenarkan pengawas atau ketua kelas menjaga kelas ketika ketiadaan guru.

Kebajikan guru-guru daripada aspek masa berkualiti mereka dan cuti hujung minggu mereka tidak diganggu. Hari Sabtu dan Ahad mereka tidak dibenarkan diganggu kerana ianya adalah masa untuk bersama keluarga dan aktiviti komuniti.Seperti di atas tadi, alasan mereka ialah "this is the law in States"

Aktiviti ko-kurikulum diadakan pada hari persekolahan di mana masanya telahpun dijadualkan. Jika perkara ini hendak diamalkan di sekolah-sekolah di Malaysia, peruntukan masa hendaklah diubah daripada 8.30 pagi-3.30 petang berbanding amalan biasa kebanyakan sekolah harian di negara kita bermula 7.00 pagi-1.00 petang (ikut kesesuaian).
Contoh Program 3P
4. Program 3P
Program 3P bermaksud Parents Participation Programme.

Saya mendapat tahu perkara ini apabila saya bertemu ibu bapa yang sedang membeli buah-buahan. Beliau menyatakan buah-buahan itu untuk dibawa ke sekolah untuk murid-murid Tadika. Katanya setiap hari ibu bapa yang berbeza-beza akan membawa buah-buahan dan diserahkan kepada guru-guru kelas. Resit pembelian itu diberikan kepada pihak sekolah.

Dengan cara tersebut, dia menyatakan itulah cara mereka berhubung baik dengan pihak sekolah dan guru-guru. Kedua, murid-murid digalakkan makan buah-buahan setiap hari. Ketiga, guru-guru tidak perlu bersusah-payah keluar membelinya, sebaliknya mereka boleh menumpukan perhatian kepada anak-anak murid di dalam kelas.

Barangkali pihak PIBG di Malaysia boleh menggunakan cara ini untuk mengeratkan lagi hubungan guru-ibu bapa ke tahap yang lebih baik.

Pengiktirafan/Anugerah
5. Pendidikan Percuma
Di negara kita sejak beberapa tahun lalu, Kerajaan telah melaksanakan sistem pendidikan percuma tetapi tidaklah 100% percuma kerana 'yuran/sumbangan' PIBG masih perlu dibayar.

Satu perkara yang tidak disebut oleh mereka yang melaung-laungkan pendidikan percuma adalah cukai yang terpaksa dibayar oleh penduduk di negara-negara maju sangatlah tinggi. Contohnya di Amerika Syarikat, individu yang kaya dikenakan cukai setinggi 42% dan Presiden Obama sejak tahun 2012 menghadapi tekanan akan isu cukai pendapatan. Manakala dilaporkan hampir 45% isi rumah di Amerika tidak membayar cukai.

Jawapan Obama pula,"We can build an economy...where everybody has a fair shot, and everybody is doing their fair share, and everybody is playing the same set of rules". (Buffet Rule) 

Persoalannya ialah, adakah kita bersedia membayar cukai yang lebih tinggi untuk menikmati pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan percuma, air percuma dan sebagainya?

Kesimpulan
Tersebut peribahasa yang popular, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'. Peribahasa kedua, jauh perjalanan luas pandangan.

Philly/Penns, PA, USA.
Februari, 19, 2015. 

Nota: Sekiranya ianya sesuai gunakanlah, sekiranya ia tidak sesuai tinggalkanlah.





2 Komen:

Anonymous said...

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ?

Anonymous said...

Idea2 tu mmg bernas sbb masa saya sekolah dulu pon ada klinik gigi siap dgn nurse sekali. Polis tu takde ler tapi cikgu2 amat rapat dgn ibubapa sbb masa mesyuarat PIBG ramai giler yg dtg sebab ada mcm pesta skit...get together punya event...ais krim percuma..hehehe. Saya pernah kena buli...ngadu kt cikgu pastu budak yg membuli tu kena rotan dan yg paling best sekali kena penampar dgn bapak dia sendiri sbb akan memalukan dia depan mak bapak yg lain masa mesyuarat PIBG. Skrg nie...hmmmmm...bila diri sendiri dah jadi cikgu baru lah terasa betapa peritnya ada Kementerian Pendidikan yg tak kreatif nie....tak menyelesaikan masalah dasar...cikgu2 byk main politik sesama sendiri...bebudak mula naik kepala sbb rotan skit silap2 kita yg makan penampar mak bapak diorang...mak bapak lak garang2 sejak PAS dan DAP nie asyik nak backing walhal anak2 diaorang yg mcm setan...kalau lah suasana sekolah aman mcm dulu dan cikgu2 kembali dihormati....hmmmm

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan