KESIHATAN MENTAL: TV ASING TERPESONA PROGRAM MEMANUSIAKAN MANUSIAWI

on Sunday, July 11

CNA TV ASIA PACIFIC

Saya sudah agak lama tidak menulis kerana kesibukan di tempat baharu, oleh kerana pengajian saya di universiti dalam bidang sains politik dengan disiplin utama dalam aspek politics and government, saya ingin berkongsi sedikit cerita success story di lapangan.

Mudah-mudahan kisah ini satu sumbangan bermakna kepada pembangunan negara kita khususnya dalam isu kesihatan mental.

Sejak kebelakangan ini kita disajikan dengan isu-isu berkaitan kesihatan mental dan keperitan hidup rakyat sehingga wujud suatu fenomena sebahagian mereka digambarkan terpaksa meminta-minta bantuan dengan pelbagai cara. Keadaan ini perlu dibantu sesegera yang mungkin.

Dalam konteks itu, rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana situasi semasa sekarang tidak normal akibat daripada pandemik Covid19 yang berpanjangan.

Semua ini mencengkam pemikiran dan kehidupan sesiapa sahaja dengan pelbagai emosi seperti perasaan trauma, kerisauan yang berlebihan, ketidakselesaan yang akhirnya menyumbang kepada masalah kesihatan mental apabila mereka gagal beradaptasi dengan suasana yang sangat mencabar ini.

Cakna terhadap situasi tersebut, saya melihat Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa tanpa melengahkan masa telah tampil dengan tindakan-tindakan segera bagi menanganinya.

Sebelum itu pun, saya melihat beliau juga satu-satunya menteri pusat yang terkedepan dalam usaha mengangkat permasalahan-permasalahan rakyat di grassroots.

Paling menarik minat saya ialah apabila beliau berjaya mengubah paradigm gelandangan di Kuala Lumpur daripada tanpa rumah diberikan tempat tinggal, tiada pekerjaan dilatih keusahawanan, kemahiran dan pertanian di mana akhirnya mereka berjaya menjual tanaman jangka pendek sayur-sayuran dan ada yang berjaya menjual buah durian.

Semua ini terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 khususnya aspek pembinaan jati diri, pembangunan modal insan dan kemenjadian manusiawi.

Tindakan pantas

Maknanya, manusia yang pada awalnya tidak punya apa-apa boleh dimajukan menjadi manusia yang bertanggungjawab, berdikari dan bermaruah. 

Pakar-pakar psikologi seperti Mehdi Golshani, Akbar S Ahmed, Victor E Frankl malah Maslow menukilnya sebagai usaha-usaha terpuji memanusiakan manusiawi.

Dalam konteks good governance, antara tindakan pantas Tan Sri Annuar Musa adalah segera membincangkan kaedah penyelesaian dengan pemimpin-pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) peringkat Zon dan Sub-Zon dalam Wilayah Persekutuan secara online melalui webminar, memandangkan mereka adalah pihak yang paling hampir dengan masyarakat dan individu yang mungkin memerlukan bantuan emosi dan material.

Sehari dua ini saya melihat di medsos, Tan Sri Annuar Musa juga telah mengadakan perbincangan dengan pakar-pakar kesihatan mental dan pemimpin-pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berpengalaman untuk membantu golongan yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Ini satu bentuk kerjasama yang bagus daripada golongan pakar dan yang sudah lama berkecimpung dalam isu-isu kesihatan mental.

Pada masa hadapan, saya ingin mencadangkan supaya beliau berkolaborasi juga dengan pakar-pakar kesihatan mental di Universiti kerana sudah pasti ilmuwan kita juga mempunyai banyak idea untuk meyelesaikan isu-isu berkaitan kesihatan mental.

Amat menarik juga, Tan Sri Annuar Musa juga dalam masa yang sama telah melakukan engagement dengan pihak-pihak yang boleh menyumbangkan tenaga, kemudahan dan dana untuk melaksanakan program-program yang dirangka untuk membantu rakyat dan golongan-golongan yang berisiko menghadapi masalah kesihatan mental.

Antara yang menarik perhatian saya ialah, Inisiatif Rumah Prihatin yang telah dirangka untuk membantu sekurang-kurangnya di dalam tujuh aspek berkaitan kesihatan mental.

Pertama, inisiatif Dapur Prihatin yang akan berperanan sebagai dapur berpusat untuk menyediakan makanan percuma, 1,000 pek sehari kepada golongan gelandangan, fakir miskin, petugas barisan hadapan, musafir dan yang tiada berkemampuan.

Kedua, bilik penginapan hotel untuk manfaat golongan musafir, individu-individu yang diwajibkan menjalani arahan kuarantin dan perantau yang tidak bermemampuan dengan konsep BSM (Bayar Minimum Sekadar Mampu).

Ketiga, bilik penginapan hotel secara percuma kepada golongan pelajar dan perantau yang wajib menjalani arahan kuarantin tetapi tidak berkemampuan untuk membayar kos penginapan yang tinggi.

Keempat, inisiatif Khidmat Sahabat Kesihatan Mental "WE CARE" dan kaunseling yang dilaksanakan secara perorangan dan menjaga kerahsiaan peribadi individu yang menerima perkhidmatan ini.

Kelima, Khidmat vaksinasi kepada golongan yang kurang upaya, terlantar dan memerlukan bantuan khas.

Keenam, Rangkaian bank makanan dan penghantaran ("food bank dan deliveries" (FnD)) bagi golongan miskin yang benar-benar memerlukannya.

Ketujuh, Perkhidmatan Bantuan Pelajar Miskin.

Sebenarnya, saya perhatikan ini bukanlah pertama kali Tan Sri Annuar Musa tampil membantu rakyat yang terkesan dan kesusahan sejak penularan pandemik Covid-19.

Sejak mula memegang jawatan sebagai menteri Wilayah Persekutuan, telah banyak inisiatif yang diperkenalkannya dan terbukti ianya telah membantu melegakan kesempitan hidup warga Wilayah Persekutuan dan membantu mereka menjana pendapatan.

Bahkan dalam tempoh baru sebulan menjawat jawatan tersebut, Tan Sri Annuar Musa telah mengumumkan pakej bantuan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan yang dinamakan Inisiatif Wilayah Cakna.

Inisiatif ini diperkenalkan oleh beliau berikutan kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat, golongan barisan hadapan dan keluarga mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Permudah Che Na dapat lesen

Pakej bantuan ini kemudiannya menyusul kepada Pakej Bantuan Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh perdana menteri.

Antara tindakan Tan Sri Annuar Musa yang masih diingati sampai hari ini adalah bagaimana beliau mempermudahkan Che Na mendapat lesen perniagaan foodtruck selepas 10 tahun menanti dan berulang-alik dari Rawang.

Saya masih ingat seorang pesara tentera dari Sabah yang menetap di Kuala Lumpur, meminta saya mengusulkan kepada Tan Sri Annuar Musa supaya pemberian lesen perniagaan makanan dipermudahkan.

Oleh kerana saya mengenali Tan Sri Annuar Musa sudah sekian lama, maka saya segera menyampaikan cadangan itu.

Tidak sampai 24 jam, keesokan harinya pegawai-pegawai DBKL telah mendatangi peniaga-peniaga di bahu jalan dan menawarkan mereka lesen sementara sebelum lesen kekal diberikan seminggu kemudian.

Inilah pendekatan yang sepatutnya diamalkan oleh pemimpin-pemimpin di mana kita membawa kepimpinan kita ke dalam masyarakat bukannya menunggu masalah rakyat di dalam pejabat.

Juga yang menjadi bualan orang ramai sehingga ke hari ini ialah Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dan Gerai Mary yang membolehkan lebih lima ribu yang kehilangan pekerjaan menyara kehidupan melalui kegiatan penjajaan.

Keprihatinan dan kepantasan tindakan Tan Sri Annuar Musa dan juga idea-idea baru yang boleh meringankan beban rakyat wajar dipuji dan dicontohi oleh lebih ramai pemimpin baik di peringkat kementerian, agensi atau syarikat-syarikat GLC terutamanya ketika perang menghadapi Covid-19 memakan masa yang lama dan menuntut ketahanan kerajaan dan rakyat.

Kelmarin pun, saya melihat Tan Sri Noh Omar meminta majlis-majlis perbandaran di negeri Selangor belajar daripada Tan Sri Annuar Musa bagaimana mengurus kebajikan para peniaga dan penjaja di bahu jalan.

Sejak menjadi menteri Wilayah, saya tidak pernah dengar satu khemah peniaga diruntuhkan oleh penguatkuasa DBKL. Syabas dan Tahniah Tan Sri.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI pengkaji dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan dengan minat terhadap usaha pembinaan negara, keselamatan dan patriotisme.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. Baca seterusnya di https://www.malaysiakini.com/letters/581630

0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Bakal Diterbitkan

Yayasan Pendidikan Islam

Buku Tun Mahathir

Pengunjung