BERITA DARI AMERIKA SYARIKAT: DS JAMIL KHIR BAHROM TIDAK BERSALAH, SERANGAN POLITIK YANG TIDAK ADIL

on Thursday, November 26

Baru-baru ini terdapat beberapa tuduhan dan serangan politik ke atas DS Jamil Khir Bahrom dilakukan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW).


Saya mengambil masa untuk memberikan pandangan  kerana kesibukan di samping saya perlu mendengar dengan teliti beberapa pihak yang terlibat di sini. Kita tidak boleh mempercayai kesahan sesuatu dokumen yang diberikan kerana kesahan itu banyak aspek bukan setakat ori tetapi jua kesahan penggunaanya semasa di lapangan. 

Soalan pertama ialah, adakah NOW berpangkalan di Amerika Syarikat? Adakah NOW mengikuti perjalanan program lawatan kerja DS Jamil Khir di Amerika Syarikat? Atau adakah, NOW hanya diberikan beberapa dokumen dan beberapa input cerita (hear say) yang tidak lengkap kemudian mengambil keputusan untuk menyerang DS Jamil Khir?

Perbandingannya, jika anda seorang doktor perubatan, anda tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan perubatan berdasarkan cerita pihak kedua atau ketiga, walaupun ianya diceritakan oleh si ibubapa atau si suami/isteri. Sebaliknya, sebagai doktor perubatan, anda mesti memeriksa sendiri pesakit tersebut dengan tangan anda dan dengan peralatan perubatan yang sesuai, supaya anda tidak melakukan kesilapan management ke atas patient tersebut.

Dalam isu di atas, jika NOW tidak berada di Amerika Syarikat, tidak menyertai program kerja Menteri, bagaimana kita hendak mempercayai NOW akan memberikan ulasan yang betul dan tepat? Atau ianya sekadar serangan serangan politik, atau si penyerang mahu mendapat nama? 

Sebagai rakyat Malaysia samada bekerja, belajar atau bermastautin di Amerika Syarikat, berita kehadiran menteri-menteri amatlah menggembirakan dan ditunggu-tunggu. Mereka boleh bersemuka tanpa protokol, meluahkan masalah dan seterusnya berkongsi peluang-peluang yang terdapat di Amerika Syarikat.

Dalam kes DS Jamil Khir, kehadiran beliau kerana mengikuti program-program yang telah disusun atur oleh penganjur di sini. Selain daripada acara utama bersama dengan pelajar dan komuniti rakyat Malaysia di sini, terdapat banyak aktiviti sukan dan permainan yang dianjurkan, bukanlah setakat bermain golf sahaja. Bukan juga setakat kursus kahwin yang diperbesar-besarkan itu. Bukan juga shopping itu acara yang khusus selama berhari-hari lamanya. Gambaran-gambaran seperti ini adalah gambaran-gambaran nakal, jahat dan tidak adil.

Apabila kita duduk di luar negara, kita akan mengalami beberapa kekangan yang tidak ada di Malaysia. Contohnya isu kekurangan dana untuk mengadakan aktiviti seperti hari keluarga Malaysia, seminar, forum dan sebagainya. Apabila seseorang Menteri hadir dengan rombongan mana-mana agensi kerajaan atau bukan agensi kerajaan, kita amat bersyukur apatah lagi sekiranya terdapat bantuan seperti sumbangan kewangan diberikan kepada persatuan-persatuan pelajar di sini.

Isu sumbangan kerajaan kepada persatuan pelajar universiti bukanlah isu di Malaysia sahaja. Di Indonesia, ada pihak turut mempersoalkan sumbangan dana kepada sebuah persatuan pelajar. Namun, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mempertahan tindakan itu kerananya ianya sebahagian daripada peranan kerajaan menyediakan aset kepimpinan untuk negara pada masa hadapan. Nampaknya, pemikiran dan methodologi kepimpinan NOW dalam hal ini berundur ke belakang! NOW seolah-olah menghalang bakat dan kesuburan pemimpin-pemimpin muda untuk digembleng melalui aktiviti-aktiviti pelajar.

Contoh kes yang lain, saya mengambil kes terbaharu baru-baru ini. Seorang pelajar kematian ayah. Manakala, ibunya juga sudah meninggal tidak berapa lama sebelum ayahnya pergi menemui Allah SWT. Malangnya, pelajar ini tidak dapat pulang untuk menatap ayahnya untuk kali terakhir kerana dia akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Juga jarak yang jauh Malaysia-USA mengambil masa 24 jam penerbangan itu pun jika tiada kelewatan. Lagipun dia juga baru sahaja sampai dari Malaysia. Kes-kes seperti ini sangat ad hoc dan memerlukan bantuan segera tanpa perlu kertas kerja. 

Begitu juga terdapat kes lain yang hampir serupa. 

Kesimpulan
Saya menasihatkan mana-mana NGO supaya membuat kajian yang lebih mendalam sebelum membuat tuduhan-tuduhan yang tidak adil ke atas DS Jamil Khir kerana tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh NOW sangat umum. Kita tidak boleh membuat satu kesimpulan mudah hanya melalui kertas-kertas memo daripada pejabat Yapiem atau pejabat Menteri yang dibocorkan itu sahaja.

Sesiapa pun boleh membuat kertas kerja dan permohonan untuk melakukan apa sahaja program yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia di mana-mana. Namun begitu, seringkali bajet yang diluluskan tidak selari dengan perbelanjaan semasa program. Ianya disebabkan oleh faktor-faktor luar jangka seperti cuaca, perubahan nilai matawang, kenaikan kos, permohonan kecemasan ad hoc ketika majlis berlangsung dan sebagainya. Cuba perhatikan Laporan Audit Negara baru-baru ini, dilaporkan bahawa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan didapati berbelanja melebihi daripada bajet sebenar. Sudah pasti mereka mempunyai justifikasi tertentu akan kelebihan perbelanjaan itu.

Contoh lain dakwaan oleh ahli parlimen Sepang dalam isu tarif elektrik dihebohkan kononnya akan dinaikkan pada tahun 2016. Barangkali dia tidak membaca Bajet 2016 dengan teliti, di mana sekiranya dibaca dengan teliti sebenarnya kerajaan tidak menghapuskan subsidi bil elektrik. Sebaliknya kerajaan menggunakan peruntukan lain melalui bajet MOF B11 020500 di bawah tajuk 'Subsidi dan Bantuan Tunai' yang keseluruhannya berjumlah RM10.63 Billion. Ianya merupakan satu langkah rasionalisasi. Malangnya mereka tidak membaca habis !

Bab-bab seperti ini, NOW perlu lebih teliti, sensitif dan berlaku adil. Saya kasihan kerana DS Jamil Khir menjadi mangsa, walhal anda sebenarnya menyerang orang yang salah di tempat yang salah.

Jika melihat kepada dapatan saya sendiri, isu program DS Jamil Khir di Amerika Syarikat bukanlah kes salah guna wang Yapiem, bukan juga penyelewengan dan rasuah, sebaliknya isu ini lebih kepada isu dalaman pentadbiran sahaja. 

Oleh yang demikian, saya menyokong penuh tindakan mahkamah oleh DS Jamil Khir ke atas NOW kerana ianya perlu untuk membersihkan tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atas diri dan keluarganya.

University City,
Philly, PA, USA.
November 27, 2015.











0 Komen:

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan