TARIKH PRU14

on Monday, September 4

SABAH FIX DEPOSIT  (wp)

1.  Hari ini, di mana-mana jua keghairahan bercakap mengenai PRU14 sudah menjadi lumrah. Pelbagai teori dikemukakan untuk membenarkan tekaan masing-masing tepat. Baik di pihak parti pemerintah dan parti pembangkang, masing-masing mempunyai teori yang hampir serupa sahaja.

2. Di pihak pembangkang, mereka sudah mencanangkan kemugkinan PRU14 sejak setahun dua yang lalu lagi dengan membawa pelbagai isu. Namun begitu, semua andaian mereka tersasar. Kerajaan yang memerintah hari ini masih mempunyai masa sehingga 6 Mei, 2018 untuk membubarkan parlimen jika merujuk kepada usia kerajaan dibentuk selepas pilihanraya. Namun, Perlembagaan negara memberi tempoh 60 hari lagi kepada Kerajaan untuk mengadakan pilihanraya selepas tarikh pembubaran.

3. Imbas semula pada tahun 2013, tarikh penamaan calon ialah 20 April,2013 dan tarikh pembuangan undi pada 5 Mei, 2013. Dalam PRU13, BN memenangi 133 kerusi berbanding PR memenangi 89 kerusi. Manakala kerusi majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi (simple majority).

4. Negara kita baharu sahaja menganjurkan Sukan SEA 2017 dengan menjadi juara keseluruhan. Ada orang meramalkan kejayaan di Sukan SEA akan disusuli dengan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan PRU14. Namun, tekaan itu tidak juga menjadi kenyataan. 

5. Memasuki bulan September, seluruh mata dalam dan luar negara tertumpu kepada pertemuan Presiden Trump-DS Najib dijangka pada minggu hadapan ketika Persidangan PBB. Sama ada pertemuan ini merupakan petanda yang penting untuk membolehkan PRu14, ianya suatu acara yang memberi markah bonus kepada DS Najib dan Kerajaan. Pada bulan yang sama, jemaah haji dari Malaysia mula kembali ke tanah air.

6. Memasuki bulan Oktober, Kerajaan akan membentangkan Bajet 2018. Ramai yang optimis PRU14 akan diadakan selepas pembentangan Bajet 2018. Saya tidak fikir DS Najib menjadikan Bajet 2018 satu-satunya faktor pemangkin kepada PRU14. Bajet 2018 adalah tanggungjawab kerajaan. Namun, Bajet 2018 akan menjadi bajet terpenting kerana ianya akan melancarkan lagi beberapa projek pembangunan seperti PAN Borneo, ECRL, MRT, sekolah baharu, hospital baharu, BR1M (mungkin ditambah berdasarkan pendapatan negara kembali meningkat).

7. Di luar negara, Reuters melaporkan Petronas diberitakan dijangka memenangi pembelian saham majoriti di dalam konglomerat Deweo E & C, di Korea Selatan. Di samping, kejayaan Kerajaan membeli beberapa hotel di Mekkah dan Medina untuk kegunaan jemaah haji Malaysia. Kedua-dua kejayaan ini menangkis tuduhan pembangkang yang meracun rakyat Malaysia kononnya negara sedang bankrap.

8. Bulan November diberitakan akan diadakan pemilihan kepimpinan UMNO di seluruh peringkat. Jawatan Timbalan Presiden UMNO, Naib-Naib Presiden UMNO serta Ketua Pemuda UMNO menjadi fokus penting. Jika UMNO berjaya melepasi pemilihan ini dengan lancar dan aman, ianya memberi petanda DS Najib mempunyai sebab untuk tidak melengahkan PRU14.

9. Manakala pada bulan Disember, negara bakal berhadapan dengan bulan tengkujuh. Kebiasaannya banjir akan melanda beberapa negeri dan kita belum tahu sama ada keadaan banjir sederhana ataupun buruk. Masyarakat Kristian pula akan menyambut Hari Natal di samping ambang tahun baharu 2018.

10. Pada bulan Januari 2018, ianya hampir genap Kerajaan mencapai tahun ke-5 untuk membolehkan Kerajaan bersiap sedia mengadakan PRU14 pada bila-bila masa sekurang-kurangnya pada 6 Mei 2018 (merujuk kepada pembentukan kerajaan yang memenangi PRU13 pada 6 Mei 2013).

11. Saya percaya semua pihak sedang mempersiapkan parti masing-masing. Di saat-saat akhir, nampaknya pergaduhan DS Azmin Ali-Rafizi Ramli dalam PKR sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Program Invoke semakin lesu. PAS tetap steady tatkala kem DS Azmin Ali masih mahu memujuk PAS, manakala di pihak Rafizi Ramli pula tidak. Warkah DS Anwar digunakan untuk meredakan perkelahian kedua-dua orang ini. Betulkah warkah DS Anwar dari dalam penjara? Di Kota Kinabalu pula, di kala pihak pembangkang memburukkan Kerajaan, tiba-tiba ADUN DAP mengisytiharkan keluar parti.

12. Nampaknya PAS kekal istiqamah. Saya meramalkan DS Najib akan berjaya membawa masuk PAS dalam Kerajaan sebelum atau selepas PRU14. Ianya akan mengulangi kejayaan ayahandanya allahyarham Tun Abdul Razak membawa masuk PAS ke dalam BN pada tahun 1974.

Selamat Membaca.
Kuala Terengganu.

Sumber:
1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
2. Article 113, Federal Constitution, with Index.
3. Reuters.
4. Malaysiakini.

1 Komen:

Anonymous said...

Agree sir

Post a Comment

Blog Archive

Dilema Melayu Sabah

Buku Penulis

Buku Tun Mahathir

Bakal Diterbitkan